Assalamualaikum wrt wbt.

Dalam catatan ni, saya nak berkongsi beberapa cebis daripada pengalaman hidup saya yang tak seberapa ni kepada korang yang membaca. Saya sejak kecil sejenis yang sangat mudah dibelenggu rasa takut. Betapa penakutnya saya sampai ke tahap ada cikgu yang ingat saya ni tak boleh bercakap dan boleh tiba-tiba menangis bila cikgu panggil ke depan.

Sehingga ke hari ini sisa perasaan takut terlebih dan resah tak kena tempat itu masih ada di dalam diri saya. Selain memujuk diri bersabar sentiasa, saya anggap ini satu ujian daripada Allah. Saban hari juga, saya cuba untuk paksa diri menghadapi hal-hal yang saya takutkan tu sehingga ia menyebabkan saya berasa resah memanjang.

 

Apa yang saya takutkan dan resahkan?

Kalau masa kecil dulu, saya sangatlah takut nak bercakap dengan orang - terutama sekali orang yang saya tak kenali (walaupun mereka yang tak saya kenal ni dikenali oleh ummi dan abi saya). Saya jadi sangat gementar pada usia kanak-kanak nak berborak walaupun dengan rakan-rakan sekelas. 

Masa tu, saya tersangat nak berborak dengan mereka tapi saya tak nak mereka pandang saya dan beri perhatian pada saya. Saya takut nak tegur dan memulakan perbualan dengan mereka, tapi saya TERSANGATLAH NAK berborak dengan mereka.

Kadang-kadang, saya akan sengaja buat hal-hal yang boleh menarik perhatian mereka pada saya macam baca buku laju-laju dsb, dan bila mereka cuba menghampiri saya dan nak memulakan perbualan, saya jadi kaku dan gementar. Mereka pun berpaling semula selepas itu.

Masuk ke sekolah menengah, saya masih diri saya yang dulu. Bezanya, kali ini saya berazam nak melalui zaman sekolah menengah bersendirian dengan jayanya. Bolehlah dikatakan yang saya dah berputus asa nak mencari kawan.

Seorang diri pun seorang dirilah!

Pada masa ni pula, isu rendah diri berlebihan (insecurity) pun timbul dan turut mengganggu gugat hidup saya. Saya rasa diri terlalu hodoh dan orang menggelakkan paras rupa saya bila berdepan dan di belakang saya. Saya juga rasa macam orang tak suka bercakap dengan saya dan menyampah dengan saya.

Waktu ni, sekecil-kecil hal pun buat saya rasa nak menangis dan menjerit ketakutan. Saya tak dapat nak ingat dengan jelas apa hal-hal tu, tapi saya ingat dengan jelas apa perasaan yang timbul bila saya kena buat semua tu.

Antara hal kecil yang saya ingat membuatkan saya resah dan takut ialah nak bercakap dengan orang dekat telefon, dengar bunyi nada dering telefon, mengelak daripada pergi beli barang dan bayar di kaunter, tak betah jalan bersendirian, dan macam-macam lagi.


Kemuncak resah menguasai diri.

Pada semester hujung tahun lepas, keresahan dan ketakutan yang terpendam dalam diri saya sampai ke kemuncaknya. Pertama kali, saya 'meletup' depan ummi dan abi saya meminta untuk didengari dan difahami. Saya minta pada ummi saya supaya tidak berkata apa-apa dan peluk sahaja saya yang sedang menangis ketika itu.

Saya juga minta pada ummi saya nak berjumpa dengan ahli profesional, sama ada ahli psikologi atau seorang kaunselor. Beberapa hari sebelum akhirnya saya berjumpa dengan seorang kaunselor awam, saya mengalami beberapa gejala kemurungan.

Saya juga ada ambil ujian saringan Ujian Saringan Minda Sihat DASS dan keputusannya sangatlah teruk bagi setiap satu kategori. 

Masa tu, saya sangat takut nak menghadap beban pelajaran yang semakin rumit dan banyak. Saya juga rasa resah memikirkan fitrah penyendiri saya ni menghalang saya bergaul dengan baik bersama rakan sekelas dan ia membuatkan saya ketinggalan dalam pelajaran.

Bermacam-macam jenis fikiran negatif yang melintas dalam otak saya masa tu, termasuklah perasaan nak mencederakan diri sendiri dan nak mati.


Masa sekarang.

Memang satu pendustaan dan kenistaan kalau saya katakan sekarang yang keresahan dan ketakutan berlebihan saya i dah hilang sepenuhnya. Tidak, justeru ia masih melingkar di dalam diri saya. Kadang-kadang, saya 'nampak' ketakutan dan keresahan tu dalam bentuk beruang atau kelibat hitam dalam otak saya.

Kesan yang ketakutan dan keresahan tinggalkan kepada diri saya dapat dilihat secara jasmani. Tangan yang kesejukan, riak muka yang tegang, debaran jantung yang menggila, rasa nak menangis dan menjerit, juga kadang-kadang perut saya sakit memulas.


Bertahan dan terus melawan.

Saya percaya yang perasaan resah dan takut ni tak akan pernah hilang. Bukankah ia sebahagian daripada fitrah kita sebagai manusia untuk berasa takut dan bimbang? Tambahan, ia salah satu perkara yang akan menjadi ujian buat kita seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 155:

Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Kepada korang yang mengalami isu sama macam saya, korang tak sendirian. In sha Allah, kita akan sama-sama harungi cabaran ni dan kita akan berjaya asalkan saja kita tekal berusaha. Kalau tak usaha, macam mana Allah nak kurniakan hasil untuk kita?

»»————- ♡ ————-««

Sekian sahaja catatan saya kali ini.

Terima kasih sudi membaca. Assalamualaikum.